Salam Syaaban..


Bismillahirrahmannirahim...
Assalamualaikum w.b.t....


Hari ini 21hb Jun bersamaan 1 Syaaban 1433H.Diam tak diam, sekejap jer dah masuk bulan Syaaban. Macam mana dengan bulan Rejab yang lepas? Ada yang berpuasa? Saya sempat la buat 2-3hari je kot. Ingat nak continue puasa, tiba-tiba selsema menyerang la.Ditambah dengan keadaan cuaca yang berjerebu sekarang ni, lagi bertambah teruk la. Asyik bersin tak berhenti-henti. Namun begitu, saya tidak pernah mengeluh. "Setiap penyakit itu kan ujian dari Allah untuk hambanya bagi menyucikan dosa-dosa kita yang lalu". Wallahuallam..
InsyaAllah, saya akan mencuba sedaya upaya untuk berpuasa minggu depan. Banyak kelebihan pada bulan ini yang pertu kita tahu dan amalkan.

Menurut artikel Khairul Azhar Idris yang bertajuk "Fadhilat Bulan Syaaban" di webpage IKIM, kelebihan yang Allah berikan dalam bulan Syaaban amat bermakna bagi para hamba yang ikhlas. Banyak hadis Rasul S.A.W yang diriwayatkan menceritakan kelebihan bulan ini. Antaranya ialah sabda Rasul S.A.W bermaksud: "Bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah bulan untuk menghapuskan dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan diri dari dosa. Nabi S.A.W. memberikan simbolik bahawa bulan Syaaban sebagai bulan baginda. Ini diertikan sebagai bulan di mana baginda banyak melakukan amal ibadah." Simbolik ini juga bererti umatnya sepatutnya melakukan banyak amal ibadah sebagaimana yang banyak dilakukan oleh baginda.


Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasul S.A.W bermaksud, "Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya."

Dalam sebuah hadis lain, baginda Rasul S.A.W. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid. Itulah antara kelebihan berpuasa dalam bulan Syaaban." Di samping itu, berpuasa dalam bulan ini juga adalah sebagai persediaan untuk melakukan ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.

Seterusnya bulan Syaaban ini juga merupakan bulan di mana setiap doa orang-orang beriman akan dimakbulkan Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasul S.A.W bersabda bermaksud "Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha."


Di samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda bermaksud, "Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba�, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya." Inilah antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya dalam bulan Syaaban. 

Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan. Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.

Sudah baca segala fadilat Syaaban? Jom kita banyakkan amalan di bulan ini..Selamat Beramal kawan-kawan.


Comments


Popular posts from this blog

LAWAMMAH (BARAN)

Last time @ UniGL0 Suria KLCc

09.06.2011 @ Madam Kwan's